Jari & Papan Kekunci

Gelas

Posted in Uncategorized by firaqness on July 7, 2009

Satu cerpen pendek:

Dia kata jangan telangkupkan gelas atas sinki bila sudah basuh.

Nanti berbau.

Aku telangkupkan. Tiga puluh saat kemudian aku angkat dan aku dekatkan bibir gelas kemuka.

Ya. Memang berbau.

Dia basuh pinggan mangkuk sambil beri nasihat praktikal tentang benda-benda kecil dalam kehidupan. Nasihat dia bagus-bagus belaka.

Cuma perkara besar-besar buat dia keliru. Dia kata keliru, kerana dia tidak suka berfikir tentang masa depan.

Dimasa depan kita semua akan mati. Tak ada siapa dikecualikan, katanya. Dia berpaling, senyum, dan sambung membasuh.

Aku berdiri di situ, hampir dengan dia. Aku renung rambut dia dari belakang. Baru dipotong pendek, tapi masih menutup leher. Nama stylis rambut dia, Jenny. Kedai di bangunan  dekat Pertama Complex. Aku tau sebab aku pernah pergi ke sana dengan dia.

Petang tadi dia dapat sejambak bunga lili. Dia letak atas meja, ditengah-tengah. Bila lampu dinyala bayang-bayang dari atas lili atas meja itu membentuk outline pokok yang besar.

Dalam novel ini dipanggil foreshadowing.

Aku tanya siapa bagi.

Dia kata aku bagi. Aku kata aku tak pernah bagi dia bunga. Dia kata aku mungkin dah berubah.

Aku kata sudah. Aku sudah berubah.

Sudah.

Salinan terus dari:

Sufian Abas.2008.Kasut Biru Rubina.Koleksi Fiksyen Pop Untuk Jiwa2 Hadhari Vol 1. Sang Freud Press. M/s: 15-16.